Sunday, August 29, 2010

Faktor yang mempengaruhi seorang anak (dari buku Manusia Malaikat oleh Madhahiri)

Pertama- sumber makanan sama ada dari sumber yang halal atau haram atau syubhat. Manakala makanan yang bergizi akan membentuk anak menjadi seorang yang sihat.
Dua- Lingkungan masyarakat juga mempengaruhi pembentukan seorang anak sama ada masyarakat tersebut baik atau buruk.
Tiga-Keturunan yang mewarisi sifat jasmani dan rohani daripada kedua ibubapa. Sifat-sifat yang buruk seperti dendam, pemarah atau sombong.
Empat –Pendidikan dalam keluarga akan mempengaruhi pertuturan sama ada kasar atau lemah lembut. Gaya juga adab atau akhlak.
Lima – Pendidikan kerohanian yang berpusatkan kepada guru yang mutadayyin. Contohnya Umar Abdul Aziz walaupun lahir dari golongan Umaiyah tetapi berubah menjadi alim dan baik lebih daripada keluarga dan keturunannya berpunca dari didikan seorang guru yang mutadayyin.
Begitu juga dengan Muawiyah bin Yazid (Muawiyah 2). Walaupun bapanya (Yazid bin Muawiyah) terkenal mempunyai rekod yang buruk tetapi kerana didikan kerohanian daripada seorang guru beliau rela meletak jawatan dari menjadi khalifah dan memencilkan diri dari pemerintahan bani Umaiyah yang zalim dan menindas itu.
Surah 5:32 – sesiapa yang menghidupkannya(jiwa) seolah-olah ia menghidupkan manusia semuanya dan hadis Nabi sawa , Wahai Ali sesungguhnya sekiranya seorang diberi hidayat oleh Allah melalui engkau maka ia adalah lebih baik dari dunia dan segala isinya.

Sistem Pembahagian Menurut Umar al-Khattab

Diadakan pada bulan Muharram tahun 20 Hijrah.
Dimulakan dengan catatan nama-nama Bani Hashim diikuti orang yang lebih hampir kepada Rasulullah.
Nama-nama golongan Ansar dimulakan dengan keluarga Saad bin Muaz al-Asyhali dari suku Aus kepada yang lebih hampir kepada Saad.
Perajurit Perang Badar termasuk Muhajirin dan Ansar mendapat 5000 dirham setahun. Muhajirin Habsyah dan Perajurit Perang Uhud mendapat 4000 dirham. 2000 dirham untuk anak pejuang Badar kecuali al-Hasan dan al-Husain yang mendapat 5000 dirham. Al-Abbas bin Abdul Mutallib mendapat 5000 dirham kerana hubungan kerabat dengan Rasulullah. Ummu al-Mukminin mendapat 12 000 dirham dan setengahnya mendapat 7000 dirham. Mereka yang berhijrah sebelum pembukaan kota Mekah (al-Futuh) mendapat 2000 dirham.
Usamah bin Zaid mendapat 4000 dirham. Mereka yang datang ke Madinah diberikan 25 dinar tiap-tiap seorang. Penduduk Yaman dan suku Qais di Syam dan Iraq tiap-tiap seorang diberikan 200 hingga 300 dirham. Safiyyah binti Abdul Mutallib diberikan 6000 dirham. Asma’ binti Umais mendapat 1000 dirham, Ummi Kalthum bin Uqbah diberi 1000 dirham begitu juga Um Abdullah bin Mas’ud 1000 dirham.
Pendapatan Zaman Umar al-Khattab
Kharaj dari tanah Sawad Iraq seluas 36juta jarib (1 jarib bersamaan 3.5 ekar) Kharajnya antara 7 hingga 10 dirham setiap jarib. Pendapatan yang diperolehi antara 18 juta dirham hingga 120 juta dirham.
Pendapatan dari Mesir jizyah atau kharaj antara 12 juta dinar hingga 14 juta dinar. Manakala hasil dari Bahrain yang dibawa oleh Abu Hurairah sahaja mencecah 500 000 dirham.

Tuesday, August 17, 2010

Ilmu dan Islam

Ilmu
Tuntutlah ilmu kerana yang menuntutnya bermakna berada di jalan Allah dan melaksanakan suatu amalan yang saleh.
Yang membicarakannya bermakna memuji Allah. Yang mencarinya bermakna mencintai Allah. Yang mengajarkannya bermakna memberikan sedekah. Yang menanamkannya kepada sasaran yang tepat bermakna berlaku setia kepada Allah.
Ilmu menjadikan pemiliknya dapat membezakan apa yang dilarang dan apa yang tidak. Ilmu adalah sinar ke syurga, teman di padang pasir, sahabat di kesunyian, kawan ketika keseorangan.
Ilmu membimbing kita menuju kebahagiaan, menahan kita dari kesengsaraan. Ilmu adalah perhiasan kita bersama-sama teman. Ilmu adalah baju besi terhadap musuh.
Dengan ilmu makhluk Allah muncul ke puncak kebajikan dan kepada kedudukan yang mulia, menghubungkan kita kepada yang paling berkuasa di dunia ini dan membantu kita mencapai kesempurnaan dan kebahagiaan seterusnya. Maksud hadith Nabi Sawa.

Islam
Sudahkah anda sedari sepenuhnya apa sesungguhnya Islam itu. Islam adalah agama yang berdasarkan kebenaran. Islam adalah sumber dari mana mengalir sungai-sungai hikmat dan pengetahuan.Islam laksana lampu yang menyalakan lampu-lampu. Islam adalah mercutanda yang sangat tinggi yang cahayanya memancar menerangi jalan ilahi. Islam adalah himpunan prinsip dan keyakinan yang dapat memuaskan setiap pencari kebenaran.
Hendaklah anda ketahui bahawa Allah telah menciptakan Islam sebagai jalan yang paling mulia untuk mencari keredaanNya yang tertinggi peribadatan dan ketaatan kepadaNya. Ia telah mengurniainya dengan ajaran yang mulia, prinsip-prinsip suci, hujah yang tiada keraguan, keunggulan yang tak terbanding serta kebijaksanaan yang tidak tertolak.
Terserahlah kepada anda untuk memelihara kebesaran dan kemuliaan yang dianugerahkan Allah kepadanya, mengikutinya dengan tulus, berlaku ikhlas terhadap rukun-rukun Imannya, mentaati sungguh-sungguh ajaran dan perintahnyadan memberikan tempat yang semestinya dalam kehidupan anda. Sedutan ucapan Imam Ali a.s.

Monday, August 16, 2010

Kleper Pitih

Kleper Pitih
Tabiat menyimpan duit dalam kleper pitih telah menjadi amalan sejak lama lagi. Masyarakat dahulu telah terbiasa menyimpan duit di dalamnya. Mereka bukan setakat menyimpan seringgit dua kadang-kadang mencecah ratusan malah ada yang mencecah ribuan. Contohnya orang yang menjual lembu kerbau yang mencecah ribuan harganya.
Tempat kleper pitih juga unik dan istimewa. Ada yang meletaknya di dalam kilasan kain pelikat, dalam poket baju atau seluar, di tangan sahaja dan bagi wanita ada yang meletakkannya di celah bra yang dipakai. Bagi yang meletakkannya di dalam kilasan boleh dilihat besarnya kilasan tersebut. Semakin besar kilasan tersebut semakin teballah pitih di dalamnya.
Kadang-kadang pitih yang diambil dari kleper pitih bersusun dengan baik tetapi telah ditambah dengan aroma peluh si pemiliknya. Ini menunjukkan lamanya pitih tersebut berada dalam kilasan tuannya. Lebih-lebih lagi kalau si pemiliknya terlibat dengan penjagaan dan penjualan lembu. Itu kalau lembu tapi kalau tahi getah mestilah lebih hebat lagi aromanya.
Bagaimanapun sekarang masyarakat telah terbiasa dengan beg duit, atau wallet ataupun purse. Mereka tidak lagi menyukai membawa kleper pitih. Amalan membawanya telah hilang ditelan zaman. Zaman sekarang mereka tidak lagi mengenalinya. Ianya telah hilang dalam arus pemodenan.
Kajian lanjut perlu dilakukan supaya amalan yang bernilai ini tidak pupus begitu sahaja. Kesan pembawakan kleper pitih perlu dipanjangkan supaya ianya berterusan. Amalan yang telah berada dalam masyarakat mesti dipulihkan supaya ia tidak hilang ditelan zaman. Setidak-tidaknya barangan yang berharga itu ditunjukkan supaya masyakat hari ini mengenalinya.
Siapakah yang akan melakukannya. Tidakkah membawa kleper pitih sekarang suatu perbuatan yang dianggap kuno. Ketinggalan zaman atau out of date. Siapa yang hendak meletak di dalam kilas sedangkan sekarang sudah jarang yang memakai kain pelekat. Siapa lagi yang hendak meletak di celah bra ...tapi terpaksa mengambilnya ketika diperlukan.
Semestinya kita tertanya-tanya apa dia kleper pitih. Kenapa perlu diulang sedangkan ia merujuk kepada perkara yang sama. Kleper dalam masyarakat Terengganu ia sesuatu yang digunakan untuk menyimpan benda-benda kecil seperti daun rokok, tembakau, sirih, pinang, batuan permata atau ubatan dan juga untuk menyimpan duit atau pitih. Sebab itu dalam blog ini dikhususkan dengan kleper pitih.