Sunday, September 29, 2013

Pengertian Ahli Sunnah wal Jama'ah serta kumpulan mereka



Pengertian Ahli Sunnah wal Jama’ah – suatu kumpulan dalam Islam yang berpegang kepada Sunnah Rasulullah dan Sunnah khulafa` ar-Rasyidin (Gibb and Kramess , Shorter Encyclopaedia of Islam, hal 552). Kamus al-Munjid mengatakan Ahl Sunnah adalah golongan yang mengakui Saidina Abu Bakar sebagai khalifah manakala Ahl Syiah ialah golongan yang hanya mengakui khalifah Imam Ali sahaja (al-Munjid fi al-Lughah,hal 353 ).
 Jalaluddin Mohd Musa memberikan pengertian Ahl Sunnah berasaskan makna sunnah iaitu at-Tarikah dan al-Hadith. At-Tarikah (jalan) berdasarkan Ahl Sunnah mengikut jalan para sahabat dan tabien dalam menjamin ayat-ayat mutasyabihat dengan diserahkan pada Allah maknanya. Al-Hadith berdasarkan Ahl Sunnah mempercayai kesahihan sesuatu hadith dan kurang mentakwilkannya seperti yang dilakukan oleh Muktazilah. Memasukkan empat orang Imam dalam Ahl Sunnah iaitu Imam Malik, Imam Abu Hanifah, Imam Shafie dan Imam Hanbali. Ahl Sunnah bersepakat atas hujah ijma’ sahabat tetapi berselisih atas ijma’ selepasnya (Jalaluddin Mohd Musa, Nash’a al-Asha’irah wa tata wuraha ,hal 15-16 )
Menurut az-Zabidi yang dikehendaki dengan  ahl Sunnah wa al-Jamaah ialah al-Asya’irah dan al-Maturidiah juga al-Khayali dalam al-Hashiah fi syarah Aqidah al-Asya’irah (al-Zabidi , Ittihaf as-Sa’adat al-Muttaqqin , Juzu` 2 hal  6-7).
Ahli Sunnah ialah mereka yang mengakui khulafa` ar-Rasyidin, menerima Sunnan Sittah, dan penganut mazhab yang empat (Thomas Hughes, Dictionary of Islam , hal 623).
James Hastings memasukkan juga Abu Hasan al-Ash’ari dan al-Ghazali dalam kumpulan Ahli Sunnah di samping imam mazhab yang empat ( James Hastings,  Encyclopaedia of Religion and Ethic, vol xii, hal 114-119 )
Kumpulan ahl Sunnah wa al-Jama’ah
Al-Baghdadi menyenaraikan lapan kumpulan manakala az-Zabidi hanya meletakkan tiga kumpulan. Kumpulan mengikut al-Baghdadi ialah (al-Baghdadi, al-Farq baina al-Firaq , hal 313-318)
01.   Mereka yang mempunyai ilmu yang mendalam mengenai tauhid dan kenabian, hukum-hukum ganjaran dan balasan, pahala dan siksa, syarat-syarat ijtihad, kepimpinan, Imamah dan mereka yang mengikuti jalan-jalan golongan as-Sifatiah dari kalangan Mutakallimin.
02.   Tokoh-tokoh feqah dari dua aliran iaitu ahl ar-Ra`yu dan aliran ahl al-Hadith yang mempunyai aqidah yang sealiran dengan mazhab as-Sifatiah. Antaranya pengikut Imam Malik, Shafie, Auza’i, Thauri, Abu Hanifah, Ibnu Abi Layla, Abu Thaur, Ahmad bin Hanbal, Daud az-Zahiri dan semua fuqaha yang menganuti aqidah as-Sifatiah dan hukum feqah mereka tidak bercampur dengan bid’ah ahli hawa nafsu yang sesat.
03.   Mereka yang mempunyai ilmu yang mendalam mengenai khabar, sunnah dan peninggalan Rasulullah. Mereka mahir dalam ilmu al-Jarh wa Ta’dil dan ilmu mereka tidak bercampur dengan golongan yang sesat.
04.   Mereka yang mempunyai ilmu yang mendalam dalam bidang bahasa termasuk adab, nahu dan saraf. Antara mereka ialah Khalil, Abu Amru Ibn al-Ala,Sibawaih, al-Fara`, al-Akhfasiy, al-Asma’i, al-Mazani, Abu Abid dan semua tokoh nahu aliran Kufah dan Basrah yang tidak bercampur dengan golongan sesat.
05.   Mereka yang berilmu dalam bidang bacaan al-Quran , tafsir dan takwil sejalan dengan mazhab Ahl Sunnah.
06.   Ahli Zuhud dan Tasawuf yang melihat melalui hati nurani atau matahati akan kebesaran Allah lalu mereka menerimanya dan menjadikan pengajaran atas mereka.
07.   Mereka yang bersatu padu dan mempunyai ikatan yang kukuh dalam barisan Islam untuk berjihad melawan golongan kafir. Berjihad menentang musuh-musuh Islam , menjaga dan mengawal kehormatan dan maruah muslim.
08.   Mereka yang tinggal di negeri-negeri yang menganut aliran Ahli Sunnah. Mereka terdiri dari orang awam yang mempunyai kepercayaan menepati ulama Ahli Sunnah wal Jama’ah.
Kumpulan Ahli Sunnah wal Jama’ah menurut az-Zabidi :-
01.Golongan ahli hadith yang berpegang atas dalil sam’iyah iaitu al-Quran, as-Sunnah dan ijma’.
02. Golongan ahli pengguna akal (ashab ar-Ra`yu) dan pembangun fikiran iaitu Asya’irah, Hanafiah, Sheikh Abu Hasan al-Asy’ari, Imam Hanafi, Abu Mansur al-Maturidiah yang bersepakat dalam banyak perkara.
03. Ahli Wujdan wal Kasyaf iaitu golongan ahli sufi yang berpegang atas pegangan ahli ar-Ra`yu dan ahli al-Hadith.
Pegangan Ahli Sunnah wal Jama’ah
Mengikut al-Baghdadi, Jumhur Ahli Sunnah wal Jama’ah sepakat dan sekata pada semua usul dan rukun-rukun agama Islam. Setiap orang yang aqil dan baligh wajib mengetahui hakikat setiap rukun. Setiap rukun ada cabang dan setiap cabang ada masalah yang juga disepakati dan dipersetujui oleh Ahli Sunnah. (al-Baghdadi, al-Farq bainal Firaq , hal 323 ). Ada beberapa perkara yang berlaku perbezaan pendapat antara al-Asy’ari dan al-Maturidi seperti sifat Tuhan, perbuatan hamba, kewajipan Tuhan, dosa besar dan janji baik serta janji buruk. (Harun Nasution, Teologi Islam ,hal 73 )
Rukun-rukun agama Islam yang disepakati oleh Ahli Sunnah mengikut al-Baghdadi ada lima belas usul iaitu mengithbatkan hakikat dan ilmu , baharunya alam , Pencipta alam dan sifat-sifat zatiah yang layak pada ZatNya, Sifat-sifat yang wujud pada Allah, Nama-nama Allah dan Sifat-Sifat Allah, Keadilan Allah, Kenabian dan kerasulan, Mukjizat dan karamah, rukun-rukun shari’ah Islam (rukun Islam), suruhan dan larangan, kebinasaan manusia dan hukuman di akhirat, khalifah dan Imam,  Iman dan Islam, wali-wali dan Imam-imam dan hukuman terhadap musuh-musuh Islam. (al-Baghdadi, al-Farq , hal 324-353 )

Pengenalan Ahli Sunnah wal Jama'ah (sambungan)



Abdullah bin Said al-Kullabi (240H)
Al-Kullabi mempunyai penyokong-penyokong sebagaimana ia juga tidak sunyi daripada musuh dan pembangkang-pembangkang.
Komentar Penyokong
Abu al-Ma’ali Imam al-Haramayn (478H), “ al-Kullabi sebagai Imam Ahli as-Sunnah wa al-Jamaah pada masanya dan rakan seperjuangannya”. (Imam al-Haramayn, al-Irsyad, hal 118)
At-Taj as-Subki “ Abdullah bin Said al-Kullabi adalah seorang daripada Imam al-Mutakallimin”. (as-Subki , Tabaqat as-Syafi’iyah,)
Ibnu Taimiah memberi kata penghargaan dalam beberapa tempat dalam kitab Minhaj as-Sunnah dan dalam Majmu’at ar-Rasail wa al-Masail. (Ibnu Taimiah, Majmu’at ar-Rasail wa al-Masail, hal 51-57)
Kata-kata penghargaan daripada tiga tokoh di atas membuktikan kedudukan istimewa Ibn al-Kullabi di kalangan Ahli as-Sunnah wa al-Jamaah sendiri dan pengaruhnya di dalam aliran mereka.
Komentar Pembangkang
Ibnu an-Nadim “ Abdullah bin Said al-Kullabi adalah semaian al-Hasyawiah. Semasa berdebat dengan Ibad bin Sulaiman, beliau berkata bahawa kalam Allah ialah Allah. Ibad berkata “ Abdullah adalah orang Suryani (Masihi) dengan kata-kata itu. (Ibnu an-Nadim, al-Fihrist , hal 269-280)
Abu al-Abbas al-Baghawi berkata “ Saya berjumpa dengan pethiun Masihi dalam sebuah gereja. Dalam perbualan kami saya bertanya kepadanya berkenaan Abdullah bin Said al-Kullabi. Ia menjawab Abdullah baik orangnya , ia selalu datang kepadanya dan duduk di sebelah ruang sana dan daripadanya ia mengambil kalam Allah ialah Allah. Al-Baghawi berkata Jika ia masih hidup maka nescaya ia mengkeristiankan orang-orang Islam.
Sebenarnya Ibad bin Sulaiman dan al-Baghawi daripada Muktazilah. Justeru itu tak hairanlah jika mereka kedua memusuhi secara terang-terang mana-mana ulama Ahli as-Sunnah wa al-Jamaah dengan berbagai-bagai senjata. Mereka mengajar orang-orang yang bersimpati dengan mereka supaya menganggap pendapat lawan sebagai pendapat yang diimpot daripada ajaran-ajaran Masahi, Yahudi dan falsafah. (as-Syaharastani,al-Milal wa an-Nihal, Juzu` 1, hal 109 )
 Abdullah bin Said al-Kullabi dan Musykilah as-Sifat dan az-Zat  

Para pengkaji sejarah firaq Islam berpendapat bahawa al-Kullabi mempunyai prinsip-prinsip yang sama dengan pegangan ahl al-Hadith dan ahli Sunnah wa al-Jamaah dan ramai pengikutnya telah diserapkan ke dalam aliran al-Asy’ariah.
Mengikut al-Asy’ari bahawa al-Kullabi menganuti aqidah ahl al-Hadith dan ahl Sunnah wa al-Jama’ah secara ringkas iaitu beriman kepada Allah, malaikat, kitab-kitab suci para rasul ,apa yang dibawa oleh mereka dan apa yang diriwayatkan oleh perawi-perawi yang dipercayai daripada Nabi Muhammad s.a.w . Apa yang disebut di atas adalah secara ringkas dan aqidah secara ditil pula ialah Allah Esa, tunggal, tempat meminta pertolongan, tidak ada tuhan lain melainkan Allah, tidak ada isteri dan anak dan Muhammad adalah hambaNya dan pesuruhNya , syurga dan neraka ada, hari kiamat pasti tiba, kebangkitan mati daripada kubur tetap berlaku dan sebagainya.
Aqidah tadi berfungsi menolak konsep tri-tunggal (at-Tathlith) dan ahli falsafah yang mengengkari hari kebangkitan (al-Ba’th). Dan bukan ia berfungsi menolak aliran Islam yang lain.
Berkenaan nama-nama Allah bukan Allah “ maka tujuannya ialah untuk menolak pendapat al-Muktazilah dan al-Khawarij yang berkata : Allah ‘Alimun Bi Zatihi yakni menolak sifat ‘ilmu sedangkan Tuhan berfirman (al-Fatir :11) ertinya : Dan tiada mengandung seseorang perempuan dan tidak pula satu-satunya melahirkan melainkan dengan keadaan yang diketahui Allah - disini Tuhan memperakukan adanya ‘ilmu sebagai sifat maujudah fi Nafsiha.
Ahl Hadith berpegang dengan ayat al-Mutasyabihat tanpa takwil. Jawapan Imam Malik kepada pertanyaan mengenai firman Allah (Taha : 5 ) ertinya : iaitu ar-Rahman yang bersemayam di atas Arasy.... al-Istiwa` ma’lum wa al-Kayfiat majhulah wa al-Iman bihi wajib wa al-Su`al ‘anhu bid’ah ertinya persemayaman sudah maklum, caranya tidak diketahui, beriman dengannya wajib dan bertanya mengenainya bid’ah. Begitu juga ayat-ayat al-Mutasyabihat yang lain seperti (al-Maidah : 64) ertinya : malah kedua tanganNya terbuka luas. Dan firman Allah ( al-Rahman: 27) ertinya : dan tinggal muka Tuhanmu yang mempunyai keagungan dan kemuliaan.
Al-Muktazilah berpendapat bahawa hamba mempunyai kuasa sebelum melakukan sesuatu geraklaku berdasarkan kepada pengertian al-Istita’ah. Pendapat Muktazilah ditolak oleh ahl Hadith dengan alasan mereka seseorang tidak boleh dianggap berkuasa sebelum ia melakukan sesuatu atau tidak berkuasa melakukan sesuatu yang Allah mengetahui orang yang terlibat itu tidak ada kuasa melakukannya atau dengan erti kata yang lain kekuasaan dan kemampuan pembuat sesuatu adalah khusus bagi Allah kerana Dia sahaja yang mempunyai sIfat-sifat itu sejajar dengan ilmuNya yang azali.
Dengan analisa al-Istita’ah tadi jelas kepada kita mazhab ahli Sunnah wa al-Jama’ah mempunyai prinsip-prinsip yang kemas dan daya penarik yang kuat untuk menuju ke arah kekuasaan Tuhan yang mutlak. Adanya al-Istita’ah melibatkan segala suruhan dan larangan agama dengan kejayaan dan kegagalan, pahala dan dosa, kebaikan dan keburukan, hidayat dan sesat. Kesemuanya datang daripada Tuhan belaka tertakluk kepada qadha` dan Qadar (al-Asy’ari , Maqalat al-Islamiyyin wa Ikhtilafu al-Musallin, Juzu` 1, hal 298-299)
Ahli Sunnah wa al-Jama’ah berpegang dengan aqidah boleh dilihat Tuhan dengan mata kepala di hari Akhirat dan tidak mungkin berlaku demikian di dunia ini.
Iman mengikut mereka terdiri daripada al-Iqrar dan amalan. Ia boleh bertambah dan berkurangan mengikut tinggi rendah prestasi amalan. Pelaku dosa besar tidak kafir, syafaat Rasulullah s.a.w  ada bagi umatnya yang berdosa besar, siksa kubur, kolam air, titian, hari kebangkitan, hisab dan mengadap Tuhan adalah haq. Demikianlah serba ringkas mengenai prinsip-prinsip ahli Hadith yang dianuti oleh Abdullah bin Said al-Kullabi tetapi diolah dalam metod rasional.

Az-Zat dan as-Sifat
Ibnu Kullab menegaskan bahawa Allah bersifat dengan sifat qidam, Ia tidak bertempat dan tidak terlibat dengan masa sebelum wujud alam ini lagi, kerana tempat dan masa adalah baharu , Ia kekal, bersemayam di atas arasy, Maha Tinggi dan Maha Agung. Ibnu Taimiah terpengaruh dengan pendapat Ibnu Kullab ini.
Mengenai Sifat, Ibnu Kullab mengithbatkan sifat itu bagi Tuhan berkata , Inna Allah lam yazal hayyan, ‘aliman ,qadiran, basiran, sami’an , ‘azizan ,, ‘aziman, Jalilan, kabiran, kariman, maridan, mutakalliman, jawaran dan sebagainya. Ertinya Sesungguhnya Allah berkekalan hidup, mengetahui, berkuasa, , melihat, mendengar, mulia, agung ,besar, pemurah, berkehendak, berkata-kata, murahhati dan sebagainya. Dengan itu Ibnu Kullab menegaskan bahawa sifat bukanlah zat dan bukan pula lain daripada zat, la hiya huwa wa la ghairuh. Yang demikian untuk menolak pendapat al-Jahmu bin Safwan yang mendakwa bahawa sifat Ilmu adalah ain Zat (Ali Sami an-Nasyar, Nasy`atu al-Fikr al-Falsafi fi al-Islam , Juzu` 1, hal 281 )
Al-Quran Kalam Allah qadim bukan makhluk, kebaikan dan keburukan keduanya daripada Allah, orang yang berdosa besar mukmin, Allah boleh dilihat dengan mata kepala di hari kiamat tanpa arah seperti di depan, di belakang, di kanan dan di kiri, atas dan bawah, walaupun Tuhan bersemayam di atas Arasy tetapi Ia bukan Jisim (al-Asy’ari ,Maqalat al-Islamiyyin .., Juzu` 1, hal 298-299). Inilah mazhab Abdullah bin Said al-Kullabi. Ia sealiran dengan ahl al-Hadith dan secocok dengan al-Asya’irah yang akan muncul selepasnya dan pengikut-pengikutnya.
Huraian Mengenai az-Zat dan as-Sifat
Ibnu al-Kullabi berpendapat bahawa Allah lam yazal ‘aliman, qadiran, hayyan, sami’an , basiran, yakni Allah bersifat dengan sifat-sifat tersebut di samping sifatNya sebagai ar-Rabb dan al-Ilah. Ia qadim pada Zat dan Sifat. Zat berbeza daripada Sifat. Allah selaku ‘aliman, qadiran, hayyan mestilah bersifat dengan sifat ilmu, qudrat dan hayyat. Begitu juga dengan Nama-namaNya. Alasan Zat berbeza daripada sifat ialah kerana sifat tidak boleh berdiri pada sifat.
Mengenai ayat al-Mutasyabihat, Ibnu al-Kullab berkata wajah Allah bukan Allah dan bukan pula lain daripada Allah. Begitu juga tentang dua tangan, mata, pendengaran adalah sifat yang berbentuk “ la hiya huwa wala ghairuh “. Allah selaku maujud bukan daripada sifat al-wujud dan selaku sya`i bukan dengan sya`i kerana ZatNya itu maujud (ada) dengan adanya sifat al-wujud dengan pengertian yang khusus di mana wujudnya berpunca daripada ZatNya  selaku as-Sya`i. Malah as-Sya`i itu berpunca daripada ZatNya juga kerana tidak ada kuasa luaran yang memberi kepadanya sya`i itu. Justeru itu illat wujud Tuhan adalah ZatNya sendiri, sifatnya yang berdiri pada Zatnya bukanlah Zat dan bukan lain daripada Zat. Jika ada kelainan Zat dengan sifat maka di sini ada satu Zat qadim dan satu sifat qadim, justeru itu jadilah berbilang-bilang qadim. Ini akan membawa kepada berbilang-bilang tuhan.
Mengikut Ibnu al-Kullab sifat adalah muta’aliq zat kerana sifat tidak boleh berdiri pada sifat, oleh itu maka Allah bukan sifat sepertimana ia bukan zat.
Al-Harith bin Asad al-Muhasabi (243H)
Ahli sejarah falsafah Islam mengakui bahawa al-Muhasabi adalah rakan seperjuangan Ibnu al-Kullab dan al-Qalanisi mengikut aliran ahl as-Sunnah wa al-Jama’ah.
Al-Muhasabi seorang tokoh tasawuf yang terkenal. Al-Junaid syeikh ahli tasawuf menjadi muridnya tetapi Ahmad bin Hanbal telah memulaunya dan menasihatkan orang ramai supaya jangan menuntut ilmu daripadanya.Dikatakan sebab-sebab pemulauan itu ialah persoalan lintasan hati dan perasaan was-was yang menjadi persoalan pokok dalam alirannya. Ibnu Hanbal menganggap kedua-dua persoalan itu bukan islam. Dikatakan al-Muhasabi menganut fahaman al-Kasyf atau al-Ilham atau al-Basirah kerana terpengaruh dengan pegangan Ibnu Kullab (Ibnu Taimiah , Muwafiqatu Sarihu al-Manqul li Sarihi al-Ma’qul , Juzu 1, hal 161 ). Karya al-Muhasabi yang amat bernilai adalah hasil kajian yang dibuatnya terhadap pendapat Ibnu Kullab. Karya-karya itu mencakupi bidang ilmu Kalam dan Tasawuf.
Abu al-Abbas bin Abd Rahman bin Khalid al-Qalanisi (255H)
Abu al-Abbas al-Qalanisi seorang tokoh terkemuka ahl as-Sunnah wal Jama’ah. Beliau adalah rakan seperjuangan Ibnu al-Kullab. Ibnu al-Kullab pernah berdebat Abu Huzail al-‘Alaf jaguh Muktazilah manakal al-Qalanisi menulis kitab-kitab untuk menolak pendapat Ibrahim bin Sayyarhani` (al-Nazam). Al-Baghdadi berkata : “al-Qalanisi adalah tokoh ahl as-Sunnah pada zamannya. Beliau menulis lebih daripada 150 buku dan risalah”. Seterusnya “ al-Qalanisi mempunyai buku-buku dan risalah untuk menolak pendapat an-Nazam. (al-Baghdadi, al-Farq baina al-Firaq, hal 513 ). Khusus mengenai al-Juz`u al-Lazi la yatajaza` , juzu` yang tidak boleh dipecahkan yakni atom.
Al-Qalanisi bersependapat dengan Ibnu al-Kullab bahawa Kalam Allah tidak berbentuk suruhan atau larangan dalam azali  kerana suruhan dan larangan tertakluk kepada baharu sedang kalam Allah adalah azali dan nafsi (al-Subki , Tabaqat as-Syafi’iyah , Juzu` 2, hal 221).  Dengan itu mereka menolak pendapat Abu Hanifah yang mengatakan suruhan dan larangan ada sejak azali lagi kerana beliau menolak sifat Fi’il – iaitu sifat yang Tuhan harus bersifat dengannya dan dengan lawannya. (Ustaz Ibrahim Yasin ,Tutorial Ilmu Kalam 3, 12 /07/ 1407 )
Al-Qalanisi membolehkan perlantikan Imam yang mafdul semasa ada yang fadil (al-Baghdadi, al-Farq bayna al-Firaq , hal 513).Pendapat ini mirip kepada Syiah Zaidiyah, manakala al-Asy’ari sebaliknya dan mirip kepada Syiah Imamiah. Imam al-Haramayn  ada menyebut pendapat al-Qalanisi mengenai fungsi iman ada kalanya bertambah dan ada kalanya berkurangan (Imam al-Haramayn, al-Irsyad , hal 399).

Pengenalan Ahli as-Sunnah Wa al-Jamaah



Ahli as-Sunnah wa al-Jamaah telah muncul sejak kemunculan Islam lagi. Mereka berganding bahu dengan aliran-aliran yang lain di dalam mempertahankan aqidah Islamiah sebelum munculnya al-Asya’irah dan al-Maturidiah.

Para Fuqaha turut terlibat memikul tugas ahli as-Sunnah wa al-Jama’ah bersama aliran-aliran yang lain iaitu golongan as-Sifatiah (Pengithbatan Sifat). Kerjasama itu dijelaskan oleh al-Baghdadi “ terdapat satu golongan berkecimpung dalam ilmu Tauhid an-Nubuwwah, al-Imamah, az-Zi’amah atas lunas dan cara as-Sifatiah untuk menentang golongan al-Musyabahat, al-Mu’atilah (al-Muktazilah)(penapi Sifat), as-Syiah ar-Rafidah, al-Khawarij, al-Jabariah, an-Najjariah dan lain-lain golongan yang sesat”. (al-Baghdadi, al-Farq bayna al-Firaq, hal 189).
Al-Baghdadi berkata lagi ,” Para Fuqaha yang terdiri daripada ahl ar-Ra’yu dan ahl al-Hadith adalah as-Sifatiah kerana mereka anti al-Qadariah dan al-Muktazilah dalam masalah al-Ilahiah (ketuhanan) dan sifat-sifat azaliah. Mereka juga anti al-Musyabihat dalam masalah boleh melihat tuhan dengan mata kepala di samping itu mereka mengithbatkan masalah al-Ba’thu (hari kebangkitan), soal jawab kubur, kolam air, titian, syafaat, pengampunan semua dosa yang pesalahnya sama ada dia bertaubat atau tidak selain daripada syirik “. (al-Farq, hal 18)

Menurut al-Baghdadi lagi antara prinsip-prinsip Ahli as-Sunnah wa al-Jamaah ialah ahli syurga akan kekal di dalamnya buat selama-lamanya sebagaimana orang-orang kafir akan kekal di dalam neraka. Mereka mengiktiraf khilafah sayidina Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali radia Allah anhum dan menyanjung tinggi as-Salaf as-Saleh yang terdiri dari pengikut-pengikut al-Imam Malik, as-Syafie, al-Awza’i (157H), Sufian al-Thawri (161H), Abu Hanifah an-Nukman, Abu Layla (148H), Abu Thor (240H), Ahmad bin Hanbal (241H) dan para Fuqaha yang lain. Mereka itu berpegang dengan dengan aqidah as-Sifatiah dan tidak mencampur aduk perundangan Islam dengan bid’ah dhalalah. (al-Farq, hal 189).

As-Syaharastani menjelaskan bahawa selepas al-Imam Malik bin Anas dan Ahmad bin Hanbal, maka aliran Ahli as-Sunnah wa al-Jamaah dipelopori oleh Abdullah bin Said al-Kullabi (240H), kemudian al-Harith bin Asad al-Muhasabi (243H) dan Abu al-Abbas al-Qalanisi (255H). Mereka mengendalikan aqidah Ahli as-Sunnah wa al-Jamaah dalam jurusan ilmu Kalam mengikut lunas-lunas as-Salaf as-Saleh iaitu memperkuatkan aqidah dengan hujah-hujah perdebatan dan dalil aqli. Ada di antara mereka menerbitkan karya-karya yang bermutu dan ada pula yang menyelidik dan mengkaji secara mendalam. Hasil kajian mereka berjaya menelurkan perdebatan ilmiah khususnya antara as-Syeikh Abu Hasan al-Asy’ari dengan gurunya Abu Ali al-Juba`i mengenai masalah as-Solah wa al-Aslah lil’ibad (masalah kebaikan dan lebih baik bagi hamba) . Dalam perdebatan itu al-Asy’ari menggunakan metod perbahasan dan perdebatan yang digunakan oleh Ahli as-Sunnah wa al-Jamaah. Dengan pemakaian metod tadi oleh al-Asy’ari maka prinsip-prinsip as-Sifatiah berada di kalangan al-Asya’irah. Di sini jadilah al-Asya’irah golongan yang menggunakan kaedah “La hiya (as-Sifat) zatihi wala hiya ghayra zatihi”. Antara tokoh utama ialah al-Kullabi, al-Muhasabi dan al-Qalanisi.