Soalan; Bagaimana cara pembahagian daging korban yang
sebenarnya?
Jawapan;
بسم الله الرحمن الرحيم، الحمد لله رب العالمين، والصلاة
والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد
Cara pengagihan daging korban tertakluk kepada status korban. Jika korban itu
adalah korban wajib (yakni korban nazar), tidak harus orang yang melakukan
korban dan juga keluarganya (yakni orang-orang yang berada di bawah tanggungan
nafkahnya) untuk makan sedikitpun dari binatang yang dikorbannya. Wajib ia mensedekahkan
ke semuanya kepada fakir miskin.
[1] Kalau ia telah
memakannya, wajib ia membayar ganti dengan harga daging yang dimakannya atau
dengan daging seumpamanya. Tidak dituntut ia menyembelih lagi binatang korban
kerana ia telahpun melakukannya.
[2]
Jika korban itu adalah korban sunat, maka harus ia dan ahli keluarganya untuk
makan sebanyak mana yang ia kehendaki dengan syarat sebahagian darinya
hendaklah disedekahkan kepada fakir miskin. Mensedekahkan daging korban kepada
faqir atau miskin dari kalangan muslimin adalah wajib sekalipun sedikit iaitu
dengan kadar paling minima yang dapat dinamakan sedekah. Dan disyaratkan daging
yang disedekahkan itu hendaklah dalam keadaan mentah dimana orang faqir dan
miskin yang memperolehinya dapat menggunakannya mengikut kehendaknya sama ada
menjualnya, memakannya atau sebagainya. Tidak memadai sekiranya disedekahkan
dalam keadaan daging yang sudah dimasak atau pemilik korban memasak daging
korban dan menjemput orang faqir atau miskin makan dirumahnya. Begitu juga
tidak memadai sekiranya disedekahkan bahagian yang bukan daging seperti kulit,
perut, limpa dan sebagainya.
[3]
Disunatkan pengagihan daging binatang korban merangkumi tiga bahagian;
[4]
Satu bahagian untuk dimakan oleh dirinya dan ahli keluarganya
Satu bahagian disedekahkan kepada fakir miskin
Satu bahagian dijadikan sebagai hadiah kepada rakan-rakan, para jiran atau
sebagainya sekalipun mereka kaya.
[5]
Pemberian sebagai hadiah tidaklah wajib. Oleh itu, harus pengagihan daging
korban berlegar antara dua sahaja iaitu untuk dimakan dan untuk disedekahkan.
Lebih banyak bahagian yang disedekahkan adalah lebih afdhal (umpamanya separuh
atau dipertiga (2/3) darinya). Paling afdhal ialah mensedekahkan ke semua
daging korban kepada fakir miskin kecuali sedikit darinya yang sunat diambil untuk
dimakan bagi mendapat berkat dan beramal dengan sunnah Nabi s.a.w..
[6] Terdapat hadis
menceritakan;
كان النبي(
صلى الله عليه وسلم)
يأكل من كبد أضحيته
“Adalah Nabi s.a.w. memakan dari hati binatang korbannya”. (Riwayat Imam
al-Baihaqi)
Baginda juga bersabda;
إذا ضحى أحدكم فليأكل من أضحيته
“Apabila seseorang kamu melakukan korban, maka makanlah dari daging korbannya”.
(Riwayat Imam Ahmad dari Abu Hurairah r.a./al-Jami’ al-Saghir, no. 737)
Tidak harus orang yang melakukan korban menjual apapun dari binatang korban
sama ada daging, kulit, tanduk, bulu, lemak atau sebagainya. Begitu juga, tidak
harus menyewanya kerana sewaan termasuk dalam pengertian menjual (yakni menjual
manfaat).
[7] Ketidakharusan
menjual dan menyewa ini merangkumi korban wajib dan juga korban sunat.
[8] Sabda
Nabi(s.a.w);
من باع جلد أضحيته فلا أضحية له
“Sesiapa menjual kulit binatang korbannya, maka tiada (pahala) korban baginya”.
(Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi dari Abu Hurairah r.a.)
Begitu juga, tidak harus menjadikan kulit, bulu dan sebagainya sebagai upah
kepada tukang sembelih. Upah hendaklah datang dari sumber lain, bukan dari
binatang korban. Diriwayatkan daripada Saidina Ali(k.w) yang menceritakan;
أَمَرَنِي رَسُولُ اللهِ -
صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ-
أَنْ أَقُومَ
عَلَىَ بُدْنِهِ، وَأَنْ أَتَصَدَّقَ بِلَحْمِهَا وَجُلُودِهَا وَأَجِلَّتِهَا،
وَأَنْ لاَ أُعْطِيَ الْجَزَّارَ مِنْهَا.
قَالَ: "
نَحْنُ نُعْطِيهِ مِنْ عِنْدِنَا".
“Rasulullah s.a.w. memerintahku supaya menguruskan (pengembelihan) unta baginda
dan mensedekahkan daging, kulit serta kain/pakaian yang diletakkan di atas
belakang unta itu (kepada orang miskin). Dan baginda juga memerintahkan supaya
aku tidak memberi kepada tukang sembelih dari unta itu. Kata ‘Ali; kami memberi
(upah) kepadanya dari harta yang ada pada kami”. (Riwayat Imam Bukhari dan
Muslim)
Namun jika ia telah memberi upah kepada tukang sembelih dengan wang darinya,
kemudian setelah itu ia memberi pula daging korban kepadanya atas dasar sedekah
jika ia miskin ( (yakni bukan sebagai upah) atau memberinya sebagai hadiah
(jika ia kaya), maka itu adalah harus.
[9]
Harus bagi orang yang melakukan korban mengambil manfaat dari kulit dan tanduk
binatang korbannya dengan segala bentuk manfaat seperti menjadikannya kasut,
timba dan sebagainya sekiranya korbannya itu adalah korban sunat. Walau
bagaimanapun, jika ia mensedekahkannya kepada fakir miskin adalah lebih baik.
[10]
Adapun korban wajib, tidak harus orang yang melakukan korban memanfaatkan kulit
binatang korbannya. Ia wajib disedekahkan kepada fakir miskin sebagaimana
daging.
[11]
Tidak harus sama sekali daging korban dimusnahkan walaupun sedikit. Dinyatakan
di dalam Raudhah; “Tidak harus bagi orang yang melakukan korban untuk merosak/memusnahkan
sebarang apapun dari korbannya, sebaliknya ia memakannnya dan ia memberi makan
(kepada orang lain)….”.
[12]
Soalan; Apakah harus ibadah korban dan aqiqah diniatkan bersama?
Jawapan; Menurut Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dalam kitanya
Sabilal-Muhtadin; “Pendapat anak-anak murid Imam Syafi’ie kalau seseorang
menyembelih seekor kambing diniatkan korban dan aqiqah maka keduanya tidak sah.
Inilah yang disebut oleh Ibnu Hajar dalam kitab Tuhfah…. Namun menurut Syeikh
Ramli di dalam kitab Nihayah, kalau seorang menyembelih seekor kambing berniat
untuk dijadikan korban dan aqiqah, maka sahlah keduanya”.
[13]
Pandangan Syeikh Ramli itu bersamaan dengan pandangan ulama’-ulama’ mazhab
Hanbali di mana mereka berpendapat; “Jika bertepatan hari korban dengan hari
aqiqah, maka mencukupi satu sembelihan bagi kedua-duanya sebagaimana jika
bertepatan hari raya dengan hari jumaat, maka mencukupi sekali niat mandi sunat
untuk kedua-duanya”.
[14]
Wallahu A'lam.
Nota:
[1] Al-Kifayah Li
Zawil-‘Inayah, hlm. 87.
[2] Kifayarul-Akhyar,
hlm. 533. al-Muhazzab, jil. 2, hlm. 838. al-Fiqh al-Manhaji, juz. 1, hlm. 236.
[3] Al-Iqna’, jil. 2,
hlm. 824.
[4] Al-Muhazzab (lihat
dalam kitab al-Majmu’, jil. 8, hlm. 306). Fiqh Sunnah, jil. 1, hlm. 39.
[5] Perbezaan antara
sedekah dan memberi hadiah ialah; niat memberi hadiah ialah untuk memuliakan (
الإكرام).
Adapun sedekah niatnya adalah untuk mendapat pahala.
[6] Kifayatul-Akhyar,
hlm. 533. Mughni al-Muhtaj, jil. 4, hlm. 365.
[7] Ini adalah pandangan
Imam Syafi’ie, Malik, Ahmad, Nakha’ie dan ‘Atha’. Bagi Abu Hanifah; “Harus
menjual kulit binatang korban dan kemudian mensedekahkan harga”. (Lihat Fiqh
as-Sunnah, Sayyid Sabiq).
[8] Al-Majmu’, jil. 8,
hlm. 311-312. Al-Iqna’, jil. 2, hlm. 824.
[9] Raudhah, jil. 2,
hlm. 489.
[10] Malah disunatkan
juga ia mensedekahkan pakaian/kain yang dipakaikan di belakang binatang
korbannya dan juga ladamnya. Ini berdasarkan Diriwayatkan daripada Saidina
Ali(k.w) yang menceritakan;
أَمَرَنِي رَسُولُ اللهِ -
صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ-
أَنْ أَقُومَ
عَلَىَ بُدْنِهِ، وَأَنْ أَتَصَدَّقَ بِلَحْمِهَا وَجُلُودِهَا وَأَجِلَّتِهَا،
وَأَنْ لاَ أُعْطِيَ الْجَزَّارَ مِنْهَا.
قَالَ: "
نَحْنُ نُعْطِيهِ مِنْ عِنْدِنَا".
“Rasulullah s.a.w. memerintahku supaya menguruskan (pengembelihan) unta baginda
dan mensedekahkan daging, kulit serta kain/pakaian yang diletakkan di atas
belakang unta itu (kepada orang miskin). Dan baginda juga memerintahkan supaya
aku tidak memberi kepada tukang sembelih dari unta itu. Kata ‘Ali; kami memberi
(upah) kepadanya dari harta yang ada pada kami”. (Riwayat Imam Bukhari dan
Muslim)
(Rujuk: al-Majmu’, jil. 8, hlm. 311).
[11] Al-Majmu’, jil. 8,
hlm. 313. al-Iqna’, jil. 2, hlm. 824.
[12]
Raudhatut-Thalibin, jil. 2, hlm. 488.
[13] Sabilal-Muhtadin,
hlm. 911-912. (Bab Aqiqah)
[14] Fiqh Sunnah, jil.
2, hlm. 41. (Bab Aqiqah)
Dipetik dari blog
USTAZ
AHMAD ADNAN FADZIL