Monday, August 16, 2010

Kleper Pitih

Kleper Pitih
Tabiat menyimpan duit dalam kleper pitih telah menjadi amalan sejak lama lagi. Masyarakat dahulu telah terbiasa menyimpan duit di dalamnya. Mereka bukan setakat menyimpan seringgit dua kadang-kadang mencecah ratusan malah ada yang mencecah ribuan. Contohnya orang yang menjual lembu kerbau yang mencecah ribuan harganya.
Tempat kleper pitih juga unik dan istimewa. Ada yang meletaknya di dalam kilasan kain pelikat, dalam poket baju atau seluar, di tangan sahaja dan bagi wanita ada yang meletakkannya di celah bra yang dipakai. Bagi yang meletakkannya di dalam kilasan boleh dilihat besarnya kilasan tersebut. Semakin besar kilasan tersebut semakin teballah pitih di dalamnya.
Kadang-kadang pitih yang diambil dari kleper pitih bersusun dengan baik tetapi telah ditambah dengan aroma peluh si pemiliknya. Ini menunjukkan lamanya pitih tersebut berada dalam kilasan tuannya. Lebih-lebih lagi kalau si pemiliknya terlibat dengan penjagaan dan penjualan lembu. Itu kalau lembu tapi kalau tahi getah mestilah lebih hebat lagi aromanya.
Bagaimanapun sekarang masyarakat telah terbiasa dengan beg duit, atau wallet ataupun purse. Mereka tidak lagi menyukai membawa kleper pitih. Amalan membawanya telah hilang ditelan zaman. Zaman sekarang mereka tidak lagi mengenalinya. Ianya telah hilang dalam arus pemodenan.
Kajian lanjut perlu dilakukan supaya amalan yang bernilai ini tidak pupus begitu sahaja. Kesan pembawakan kleper pitih perlu dipanjangkan supaya ianya berterusan. Amalan yang telah berada dalam masyarakat mesti dipulihkan supaya ia tidak hilang ditelan zaman. Setidak-tidaknya barangan yang berharga itu ditunjukkan supaya masyakat hari ini mengenalinya.
Siapakah yang akan melakukannya. Tidakkah membawa kleper pitih sekarang suatu perbuatan yang dianggap kuno. Ketinggalan zaman atau out of date. Siapa yang hendak meletak di dalam kilas sedangkan sekarang sudah jarang yang memakai kain pelekat. Siapa lagi yang hendak meletak di celah bra ...tapi terpaksa mengambilnya ketika diperlukan.
Semestinya kita tertanya-tanya apa dia kleper pitih. Kenapa perlu diulang sedangkan ia merujuk kepada perkara yang sama. Kleper dalam masyarakat Terengganu ia sesuatu yang digunakan untuk menyimpan benda-benda kecil seperti daun rokok, tembakau, sirih, pinang, batuan permata atau ubatan dan juga untuk menyimpan duit atau pitih. Sebab itu dalam blog ini dikhususkan dengan kleper pitih.