Sunday, September 5, 2010

Kampung Padang Air

Lokasi
Sebuah kampung yang unik kerana sebahagian besar sempadannya parit atau sungai. Sebelah baratnya ialah Parit Tok Jiring . Parit ini memisahkan Kampung Padang Air dengan Kampung Tok Jiring dan Kampung Tuan Mandak. Parit ini bersambung dengan Sungai Nerus iaitu cawangan Sungai Terengganu. Sungai Nerus atau Inderus menurut sebutan lama. Dihubungkan dengan Tok Jiring oleh beberapa buah jambatan yang utamanya jambatan jalanraya Kuala Terengganu ke Kota Bharu.
Sebelah Selatan sempadannya ialah Sungai Nerus di mana kampung yang berseberangan ialah Kampung Petai Bubus, Kampung Tanjung Sabtu. Sungai ini membentuk selukan menganjur ke sebelah barat laut. Sebelah baratnya sempadannya sebuah sungai mati yang dipanggil sungai Buta. Kampung berdekatan ialah Pemalu Gandeng dan Bukit Berangan. Kampung Padang Air dipisahkan dengan kampung Bukit Berangan oleh beberapa buah bukit seperti bukit Che Lah, bukit Aji Mat Saudagar. Sebelah utaranya adalah kawasan lembah yang dikenali sebagai baruh Tok Jiring.
Kampung Padang Air direntangi oleh jalanraya Kuala Terengganu Kota Bharu yang menganjur dari timur ke barat. Penempatan awal adalah adalah di tebing sungai Nerus yang di monopoli oleh keturunan dari istana seperti Long dan Nan.
Nama-Nama Tempat
Banyak nama telah ditinggalkan oleh generasi dahulu dalam memperkenalkan tempat yang mereka diami atau tempat kegiatan antaranya Padang Sungai, Alur Pak Leh, Alur Menerih,, Kubur Tanjung, Perlis, Gong Mak Wan,Duhu, Lubuk Aji, Lubuk Toman, Pengkalan Pasir, Bukit Machang, Padang Tok Serak, Sungai Buta, Jirat, Barang, Wakaf Sheikh Kadir, Bukit Nanas, Alur Sawa, Tanjung Rambai, Bukit Durian, Bukit Aji, Bukit Kapas, Bukit Kecil, Peradong, Padang Darat, Baruh dekat, alur dan lain-lain.
Keturunan Awal
Keturunan awal yang mendiami Kampung Padang Air antaranya keturunan Petani (Datu) seperti Abdullah bin Ibrahim dan Mahmud. Abdullah berasal dari Petai Bubus meninggalkan dua orang anak di sini kemudian berpindah ke Perak (Padang Rengas) berkahwin dengan anak Panglima Ismail serta meninggal di sana. Mahmud meninggalkan beberapa orang anak di sini dan berhijrah ke Perlis. Terdapat beberapa versi tentang kegagahan dan keberanian mereka berdua.
Keturunan Wan Abdullah (Tok Sheikh Duyung?). Beliau dikatakan berkahwin tiga di Hiliran, di sini dan di Bukit Wan. Di sini beliau mendapat seorang anak perempuan. Beliau sentiasa berulang alik antara Hiliran, Padang Air dan Bukit Wan. Beliau dikatakan meninggal dunia di Pulau Duyung.
Keturunan Sheikh Abdul Kadir (Bukit Bayas?). Kuburnya berada dekat dengan jalanraya Kuala Terengganu Kota Bharu. Tempat tersebut dikenali sebagai Wakaf Sheikh Kadir.
Keturunan Husin orang Kubang Buyung. Beliau dikatakan merajuk dari kampungnya dan berkahwin di sini. Beliau mempunyai ramai anak dan menyumbang sebahagian besar penduduk kampung ini.
Ketua Kampung
Antara ketua kampung ialah Ngah Perak, Jusoh bin Mahmud, Daud bin Haji Embong, Abdullah bin Jusoh dan terbaru Abu Bakar atau Alias bin Mohamad .
Kemudahan Yang Ada.
Sebuah masjid, tiga buah surau, sebuah balairaya, beberapa buah kedai runcit, kedai makan sepanjang jalan Kuala Terengganu Kota Bharu, sebuah sekolah rendah iaitu Sekolah Kebangsaan Padang Air, Klinik Bidan, Shell Tepoh , Kilang Bata dan terbaru cawangan Pasaraya Sakan.
Kawasan Baruh berdekatan yang telah ditambun sedang dimajukan dengan lot perniagaan dan kawasan perumahan. Ianya akan membentuk penempatan baru dikenali sedagai Taman Desa Soleha selain yang telah diduduki seperti Taman Bukit Durian, Taman KoGuru.