Monday, June 11, 2012
Cara Pembahagian Daging Korban
Soalan; Bagaimana cara pembahagian daging korban yang sebenarnya?
Jawapan;
بسم الله الرحمن الرحيم، الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد
Cara pengagihan daging korban tertakluk kepada status korban. Jika korban itu adalah korban wajib (yakni korban nazar), tidak harus orang yang melakukan korban dan juga keluarganya (yakni orang-orang yang berada di bawah tanggungan nafkahnya) untuk makan sedikitpun dari binatang yang dikorbannya. Wajib ia mensedekahkan ke semuanya kepada fakir miskin.[1] Kalau ia telah memakannya, wajib ia membayar ganti dengan harga daging yang dimakannya atau dengan daging seumpamanya. Tidak dituntut ia menyembelih lagi binatang korban kerana ia telahpun melakukannya.[2]
Jika korban itu adalah korban sunat, maka harus ia dan ahli keluarganya untuk makan sebanyak mana yang ia kehendaki dengan syarat sebahagian darinya hendaklah disedekahkan kepada fakir miskin. Mensedekahkan daging korban kepada faqir atau miskin dari kalangan muslimin adalah wajib sekalipun sedikit iaitu dengan kadar paling minima yang dapat dinamakan sedekah. Dan disyaratkan daging yang disedekahkan itu hendaklah dalam keadaan mentah dimana orang faqir dan miskin yang memperolehinya dapat menggunakannya mengikut kehendaknya sama ada menjualnya, memakannya atau sebagainya. Tidak memadai sekiranya disedekahkan dalam keadaan daging yang sudah dimasak atau pemilik korban memasak daging korban dan menjemput orang faqir atau miskin makan dirumahnya. Begitu juga tidak memadai sekiranya disedekahkan bahagian yang bukan daging seperti kulit, perut, limpa dan sebagainya.[3]
Disunatkan pengagihan daging binatang korban merangkumi tiga bahagian;[4]
Satu bahagian untuk dimakan oleh dirinya dan ahli keluarganya
Satu bahagian disedekahkan kepada fakir miskin
Satu bahagian dijadikan sebagai hadiah kepada rakan-rakan, para jiran atau sebagainya sekalipun mereka kaya.[5]
Pemberian sebagai hadiah tidaklah wajib. Oleh itu, harus pengagihan daging korban berlegar antara dua sahaja iaitu untuk dimakan dan untuk disedekahkan. Lebih banyak bahagian yang disedekahkan adalah lebih afdhal (umpamanya separuh atau dipertiga (2/3) darinya). Paling afdhal ialah mensedekahkan ke semua daging korban kepada fakir miskin kecuali sedikit darinya yang sunat diambil untuk dimakan bagi mendapat berkat dan beramal dengan sunnah Nabi s.a.w.. [6] Terdapat hadis menceritakan;
كان النبي(صلى الله عليه وسلم) يأكل من كبد أضحيته
“Adalah Nabi s.a.w. memakan dari hati binatang korbannya”. (Riwayat Imam al-Baihaqi)
Baginda juga bersabda;
إذا ضحى أحدكم فليأكل من أضحيته
“Apabila seseorang kamu melakukan korban, maka makanlah dari daging korbannya”. (Riwayat Imam Ahmad dari Abu Hurairah r.a./al-Jami’ al-Saghir, no. 737)
Tidak harus orang yang melakukan korban menjual apapun dari binatang korban sama ada daging, kulit, tanduk, bulu, lemak atau sebagainya. Begitu juga, tidak harus menyewanya kerana sewaan termasuk dalam pengertian menjual (yakni menjual manfaat).[7] Ketidakharusan menjual dan menyewa ini merangkumi korban wajib dan juga korban sunat.[8] Sabda Nabi(s.a.w);
من باع جلد أضحيته فلا أضحية له
“Sesiapa menjual kulit binatang korbannya, maka tiada (pahala) korban baginya”. (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi dari Abu Hurairah r.a.)
Begitu juga, tidak harus menjadikan kulit, bulu dan sebagainya sebagai upah kepada tukang sembelih. Upah hendaklah datang dari sumber lain, bukan dari binatang korban. Diriwayatkan daripada Saidina Ali(k.w) yang menceritakan;
أَمَرَنِي رَسُولُ اللهِ -صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ- أَنْ أَقُومَ عَلَىَ بُدْنِهِ، وَأَنْ أَتَصَدَّقَ بِلَحْمِهَا وَجُلُودِهَا وَأَجِلَّتِهَا، وَأَنْ لاَ أُعْطِيَ الْجَزَّارَ مِنْهَا. قَالَ: "نَحْنُ نُعْطِيهِ مِنْ عِنْدِنَا".
“Rasulullah s.a.w. memerintahku supaya menguruskan (pengembelihan) unta baginda dan mensedekahkan daging, kulit serta kain/pakaian yang diletakkan di atas belakang unta itu (kepada orang miskin). Dan baginda juga memerintahkan supaya aku tidak memberi kepada tukang sembelih dari unta itu. Kata ‘Ali; kami memberi (upah) kepadanya dari harta yang ada pada kami”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
Namun jika ia telah memberi upah kepada tukang sembelih dengan wang darinya, kemudian setelah itu ia memberi pula daging korban kepadanya atas dasar sedekah jika ia miskin ( (yakni bukan sebagai upah) atau memberinya sebagai hadiah (jika ia kaya), maka itu adalah harus.[9]
Harus bagi orang yang melakukan korban mengambil manfaat dari kulit dan tanduk binatang korbannya dengan segala bentuk manfaat seperti menjadikannya kasut, timba dan sebagainya sekiranya korbannya itu adalah korban sunat. Walau bagaimanapun, jika ia mensedekahkannya kepada fakir miskin adalah lebih baik.[10] Adapun korban wajib, tidak harus orang yang melakukan korban memanfaatkan kulit binatang korbannya. Ia wajib disedekahkan kepada fakir miskin sebagaimana daging.[11]
Tidak harus sama sekali daging korban dimusnahkan walaupun sedikit. Dinyatakan di dalam Raudhah; “Tidak harus bagi orang yang melakukan korban untuk merosak/memusnahkan sebarang apapun dari korbannya, sebaliknya ia memakannnya dan ia memberi makan (kepada orang lain)….”.[12]
Soalan; Apakah harus ibadah korban dan aqiqah diniatkan bersama?
Jawapan; Menurut Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dalam kitanya Sabilal-Muhtadin; “Pendapat anak-anak murid Imam Syafi’ie kalau seseorang menyembelih seekor kambing diniatkan korban dan aqiqah maka keduanya tidak sah. Inilah yang disebut oleh Ibnu Hajar dalam kitab Tuhfah…. Namun menurut Syeikh Ramli di dalam kitab Nihayah, kalau seorang menyembelih seekor kambing berniat untuk dijadikan korban dan aqiqah, maka sahlah keduanya”.[13] Pandangan Syeikh Ramli itu bersamaan dengan pandangan ulama’-ulama’ mazhab Hanbali di mana mereka berpendapat; “Jika bertepatan hari korban dengan hari aqiqah, maka mencukupi satu sembelihan bagi kedua-duanya sebagaimana jika bertepatan hari raya dengan hari jumaat, maka mencukupi sekali niat mandi sunat untuk kedua-duanya”.[14]
Wallahu A'lam.
Nota:
[1] Al-Kifayah Li Zawil-‘Inayah, hlm. 87.
[2] Kifayarul-Akhyar, hlm. 533. al-Muhazzab, jil. 2, hlm. 838. al-Fiqh al-Manhaji, juz. 1, hlm. 236.
[3] Al-Iqna’, jil. 2, hlm. 824.
[4] Al-Muhazzab (lihat dalam kitab al-Majmu’, jil. 8, hlm. 306). Fiqh Sunnah, jil. 1, hlm. 39.
[5] Perbezaan antara sedekah dan memberi hadiah ialah; niat memberi hadiah ialah untuk memuliakan (الإكرام). Adapun sedekah niatnya adalah untuk mendapat pahala.
[6] Kifayatul-Akhyar, hlm. 533. Mughni al-Muhtaj, jil. 4, hlm. 365.
[7] Ini adalah pandangan Imam Syafi’ie, Malik, Ahmad, Nakha’ie dan ‘Atha’. Bagi Abu Hanifah; “Harus menjual kulit binatang korban dan kemudian mensedekahkan harga”. (Lihat Fiqh as-Sunnah, Sayyid Sabiq).
[8] Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 311-312. Al-Iqna’, jil. 2, hlm. 824.
[9] Raudhah, jil. 2, hlm. 489.
[10] Malah disunatkan juga ia mensedekahkan pakaian/kain yang dipakaikan di belakang binatang korbannya dan juga ladamnya. Ini berdasarkan Diriwayatkan daripada Saidina Ali(k.w) yang menceritakan;
أَمَرَنِي رَسُولُ اللهِ -صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ- أَنْ أَقُومَ عَلَىَ بُدْنِهِ، وَأَنْ أَتَصَدَّقَ بِلَحْمِهَا وَجُلُودِهَا وَأَجِلَّتِهَا، وَأَنْ لاَ أُعْطِيَ الْجَزَّارَ مِنْهَا. قَالَ: "نَحْنُ نُعْطِيهِ مِنْ عِنْدِنَا".
“Rasulullah s.a.w. memerintahku supaya menguruskan (pengembelihan) unta baginda dan mensedekahkan daging, kulit serta kain/pakaian yang diletakkan di atas belakang unta itu (kepada orang miskin). Dan baginda juga memerintahkan supaya aku tidak memberi kepada tukang sembelih dari unta itu. Kata ‘Ali; kami memberi (upah) kepadanya dari harta yang ada pada kami”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
(Rujuk: al-Majmu’, jil. 8, hlm. 311).
[11] Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 313. al-Iqna’, jil. 2, hlm. 824.
[12] Raudhatut-Thalibin, jil. 2, hlm. 488.
[13] Sabilal-Muhtadin, hlm. 911-912. (Bab Aqiqah)
[14] Fiqh Sunnah, jil. 2, hlm. 41. (Bab Aqiqah)
Dipetik dari blog USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment