Ahli as-Sunnah wa al-Jamaah telah muncul sejak
kemunculan Islam lagi. Mereka berganding bahu dengan aliran-aliran yang lain di
dalam mempertahankan aqidah Islamiah sebelum munculnya al-Asya’irah dan
al-Maturidiah.
Para Fuqaha turut
terlibat memikul tugas ahli as-Sunnah wa al-Jama’ah bersama aliran-aliran yang
lain iaitu golongan as-Sifatiah (Pengithbatan Sifat). Kerjasama itu dijelaskan
oleh al-Baghdadi “ terdapat satu golongan berkecimpung dalam ilmu Tauhid an-Nubuwwah,
al-Imamah, az-Zi’amah atas lunas dan cara as-Sifatiah untuk menentang golongan
al-Musyabahat, al-Mu’atilah (al-Muktazilah)(penapi Sifat), as-Syiah ar-Rafidah,
al-Khawarij, al-Jabariah, an-Najjariah dan lain-lain golongan yang sesat”. (al-Baghdadi,
al-Farq bayna al-Firaq, hal 189).
Al-Baghdadi
berkata lagi ,” Para Fuqaha yang terdiri daripada ahl ar-Ra’yu dan ahl
al-Hadith adalah as-Sifatiah kerana mereka anti al-Qadariah dan al-Muktazilah
dalam masalah al-Ilahiah (ketuhanan) dan sifat-sifat azaliah. Mereka juga anti
al-Musyabihat dalam masalah boleh melihat tuhan dengan mata kepala di samping
itu mereka mengithbatkan masalah al-Ba’thu (hari kebangkitan), soal jawab
kubur, kolam air, titian, syafaat, pengampunan semua dosa yang pesalahnya sama
ada dia bertaubat atau tidak selain daripada syirik “. (al-Farq, hal 18)
Menurut
al-Baghdadi lagi antara prinsip-prinsip Ahli as-Sunnah wa al-Jamaah ialah ahli
syurga akan kekal di dalamnya buat selama-lamanya sebagaimana orang-orang kafir
akan kekal di dalam neraka. Mereka mengiktiraf khilafah sayidina Abu Bakar,
Umar, Uthman dan Ali radia Allah anhum dan menyanjung tinggi as-Salaf as-Saleh
yang terdiri dari pengikut-pengikut al-Imam Malik, as-Syafie, al-Awza’i (157H),
Sufian al-Thawri (161H), Abu Hanifah an-Nukman, Abu Layla (148H), Abu Thor
(240H), Ahmad bin Hanbal (241H) dan para Fuqaha yang lain. Mereka itu berpegang
dengan dengan aqidah as-Sifatiah dan tidak mencampur aduk perundangan Islam
dengan bid’ah dhalalah. (al-Farq, hal
189).
As-Syaharastani
menjelaskan bahawa selepas al-Imam Malik bin Anas dan Ahmad bin Hanbal, maka
aliran Ahli as-Sunnah wa al-Jamaah dipelopori oleh Abdullah bin Said al-Kullabi
(240H), kemudian al-Harith bin Asad al-Muhasabi (243H) dan Abu al-Abbas
al-Qalanisi (255H). Mereka mengendalikan aqidah Ahli as-Sunnah wa al-Jamaah
dalam jurusan ilmu Kalam mengikut lunas-lunas as-Salaf as-Saleh iaitu
memperkuatkan aqidah dengan hujah-hujah perdebatan dan dalil aqli. Ada di
antara mereka menerbitkan karya-karya yang bermutu dan ada pula yang menyelidik
dan mengkaji secara mendalam. Hasil kajian mereka berjaya menelurkan perdebatan
ilmiah khususnya antara as-Syeikh Abu Hasan al-Asy’ari dengan gurunya Abu Ali
al-Juba`i mengenai masalah as-Solah wa al-Aslah lil’ibad (masalah kebaikan dan
lebih baik bagi hamba) . Dalam perdebatan itu al-Asy’ari menggunakan metod
perbahasan dan perdebatan yang digunakan oleh Ahli as-Sunnah wa al-Jamaah.
Dengan pemakaian metod tadi oleh al-Asy’ari maka prinsip-prinsip as-Sifatiah
berada di kalangan al-Asya’irah. Di sini jadilah al-Asya’irah golongan yang
menggunakan kaedah “La hiya (as-Sifat) zatihi wala hiya ghayra zatihi”. Antara
tokoh utama ialah al-Kullabi, al-Muhasabi dan al-Qalanisi.
No comments:
Post a Comment